WELCOME AND HAVE FUN

Monday, April 16, 2012

Sekilas : "Muntahlah atas tangan Amid"

Semoga cerita begini sedikit sebanyak memberi kesedaran dan panduan......

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

"Muntahlah atas tangan Amid."

17 tahun dulu....

PETANG itu, di serambi rumah usang milik keluarga kami di Kuala Terengganu,
saya duduk bersila berhadapan dengan adik bongsu, Amid atau nama sebenarnya
Syed Mohammad Nazri Syed Bidin.

"Kenapa kau nak berhenti sekolah?" soal saya.

Amid menundukkan kepala dan membisu.

Saya tidak puas hati. Sekali lagi saya ulang soalan yang sama.

"Amid tak nak sekolah sebab nak jaga emak. Amid nak jaga emak sampai akhir hayat,"

jawab Amid dengan lembut, tetapi tegas.

Saya tersentak mendengar jawapan Amid.

"isshhh. betul ke budak ni? Baru darjah enam,
masa seronok budak-budak pun masih belum habis," hati saya berkata kata.

"Cakap betul-betul dengan abang. Kenapa tak nak sekolah? Ada budak jahat kacau ke?"
pujuk saya lagi.

Saya tidak mahu Amid berhenti sekolah kerana tidak tahan dengan gangguan
budak-budak nakal.

"Betul bang, Amid tak tipu. Amid tak nak sekolah sebab nak jaga emak.

Nanti kalau Amid belajar pandai-pandai, kena duduk jauh dari mak.
Amid tak nak tinggalkan mak," katanya separuh merayu.

Melihat kesungguhannya, saya jadi buntu. Nampak gayanya, Amid tidak bergurau.

"Betul ke ni?"

soal saya masih tidak percaya.

"Betul,"
balas Amid pula tanpa ragu ragu.

"Suka hati adiklah,"
kata saya selepas lama termenung.

Mendengar jawapan saya, Amid tersenyum lalu meminta izin untuk masuk ke
dalam rumah.

Saya termenung di serambi Kata kata Amid itu benar-benar memberi kesan
terhadap jiwa saya. Kecil-kecil lagi sudah ada kesedaran mahu berbakti
kepada emak.

Tetapi, peristiwa itu berlaku 17 tahun dulu. Kini Amid sudah dewasa, umur
pun sudah mencecah 29 tahun.

Saya tidak lagi ragu-ragu terhadap Amid. Memang betul, Amid tidak mahu
bersekolah dulu kerana mahu menjaga emak.

Amid tidak bergurau. Amid telah membuktikan kepada saya dan adik beradiknya
yang lain, memang dia ikhlas mahu menjaga emak.

Memang tidak dapat dinafikan, di antara kami Sembilan beradik, Amid lah anak
yang paling taat terhadap emak. Tingkah lakunya, tutor katanya, begitu
tertib ketika bersama emak atau orang yang lebih tua darinya. Seumur hidup,
saya dan adik-beradik lain tidak pernah melihat Amid bersikap atau bercakap
kasar terhadap emak.

Apa saja keputusan atau kehendaknya, Amid akan merujuk kepada emak terlebih
dahulu.

Emaklah yang akan memutuskan. A kata emak, A jugalah katanya.
Hitam kata emak, hitamlah kata Amid.

Saya sendiri, termasuk adik beradik lain tidak mampu untuk bersikap seperti
Amid.

Pernah juga saya mengajak Amid bekerja di Kuala Lumpur mencari rezeki di
sana, tetapi dia menolak.

Katanya, biarlah dia tinggal bersama emak.

"Kalau semua pergi, sapa nak jaga emak?

Sapa nak uruskan lembu kambing? Kakak?

Dia perempuan. Mana larat buat kerja yang berat-berat.

Lagipun takkan nak biarkan rumah ni tak ada lelaki?"

"Abang dan kakak pun dah ada keluarga masing-masing.

Abang Usop dan Abang Mat pula dah duduk di KL.

Jadi, biarlah Amid duduk di kampung aja. Kerja jaga kambing dan lembu pun
tak apalah," kata Amid kepada saya.

Setiap kali saya mengajak, pasti jawapan Amid sama. Lama-kelamaan saya
mengalah.

Kami adik-beradik sudah faham perangai Amid. Saya tahu, pasti Amid tidak
akan setuju untuk ke Kuala Lumpur .

Amid dan emak bagaikan isi dengan kuku. Bagaikan satu nyawa. Tidak boleh
berpisah. Dia lebih rela menjadi gembala lembu daripada meninggalkan emak
yang sudah tua itu.

Bukan itu sahaja, dalam hal-hal makan minum pun, Amid tetap akan
mendahulukan emak.

Sekiranya dia membawa pulang kuih-muih yang dibeli dari pekan, janganlah
sesiapa sentuh, selagi emak tidak menjamah terlebih dulu.

Ada kalanya saya perasan, emak menjamah sikit makanan itu, semata-mata
untuk menjaga hati Amid.

Jika Amid berkenan untuk membeli sesuatu barangan, dia tidak akan terus
membelinya. Amid terlebih dulu akan pulang dan meminta izin emak untuk
membeli barang tersebut.

Sekiranya emak mengizinkan, barulah dia beli barang itu. Jika tidak, dia
tidak akan beli, biarpun barangan itu memang dia inginkan.

Ketika emak terlantar sakit dan hampir lumpuh, Amidlah yang menjaganya. Kami
adik-beradik ketika itu benar-benar mengharapkan Amid sebagai anak lelaki
untuk menjaga emak.

Maklumlah, kami di Kuala Lumpur . Tetapi Amid memang tidak mengecewakan
kami.

Cerita emak kepada saya, setiap malam Amid akan tidur berdekatan emak di
ruang tamu rumah tempat emak terbaring. Tidak pernah sekalipun dia tidur di
biliknya selama emak terlantar.

Pantang terdengar emak bergerak Mau terbatuk di tengah malam buta,
Amid pasti terjaga.

"Kenapa mak?

Mak nak buang air ke?

Lapar? Mak nak minum?"

Amid akan bertanya pada emak.

Sekiranya emak mahu buang air, Amid akan memapahnya ke bilik air.

Jika emak mahu minum, dia akan menyediakan minuman. Kalau emak pening, Amid
akan memicit-micit kepala emak sehingga orang tua itu terlena.

Jika emak menggigil kesejukan, Amid akan menarik selimut menutupi tubuh
emak daripada kedinginan malam.

Satu malam, cerita emak kepada saya lagi,
ketika sedang berbaring, tiba-tiba dia berasa pening kepala. Lalu emak pun
mengadu pada Amid yang sedang berbaring di sebelahnya.

Amid bingkas bangun lalu memicit micit kepala emak. Tiba-tiba, emak terasa
nak muntah sangat-sangat.

Amid yang baru saja bangun untuk mengamhil besen, apabila melihatkan
keadaan emak, amid membatalkan hasratnya ke dapur.

Amid segera berteleku dihadapan emak lalu menadah tangannya, meminta emak
muntah di telapak tangannya.

Berlambak muntah emak di telapak tangan Amid. Tetapi, Amid sedikit pun
tidak kisah atau berasa geli-geleman.

Apabila mendengar cerita emak, saya sendiri yang menitis air mata.

Memang, Amid sanggup berbuat apa sahaja untuk emaknya. Sehingga kini,
apabila saya teringatkan peristiwa itu, air mata pasti bergenang.

Sebak hati saya apabila emak menceritakan bagaimana Amid melayannya ketika
dia sedang terlantar sakit.

Pengorbanan Amid terhadap emak memang tidak mampu dilakukan oleh
adik-beradik yang lain termasuk saya sendiri.

Di samping itu, Amid juga bertanggungjawab memberi makan lembu kambing
sebanyak 30 ekor. Semuanya Amid laksanakan tanpa bersungut. Amid menjaga
emak sehingga sembuh sepenuhnya.

Semenjak berhenti sekolah, sehingga ke usianya hampir mencecah 30-an, rutin
hidup Amid tidak pernah berubah.

Pagi, Amid akan ke kebun dan selepas solat Zuhur, dia akan pulang untuk
makan tengah hari.

Sementara menunggu petang menjelang, dia akan tidur sebentar melepaskan
lelah.

Kemudian, selepas solat Asar, Amid akan keluar semula. Dia akan ke kebun
yang jaraknya kira-kira dua kilometer dari rumah untuk memastikan lembu
kambing yang sudah kekenyangan itu dimasukkan semula ke dalam kandang

Begitulah kehidupan Amid seharian. Biarpun ketika Itu, usianya sudah cukup
matang untuk mendirikan rumah tangga, namun dia langsung tidak terfikir ke
arah itu.

Katanya pada saya, buat masa ini, cukuplah seorang wanita bergelar ibu
di dalam hidupnya.

Khamis 7 Oktober 2004....

AJAL dan maut di tangan Tuhan.

Tidak ada sesiapa yang mampu menolak ketentuan Ilahi. Saya sendiri tidak
menyangka, hari itu, Amid akan meninggalkan kami buat selamanya.

Terlalu cepat rasanya Amid pergi terutama dalam usianya yang masih muda.
Amid meninggal dipanah petir.

Ceritanya begini....

Pada hari itu, selepas pulang dari kebun menghantar emak ke rumah, Amid
menunaikan solat Asar.

Selepas selesai, dia akan menunggang motosikal buruknya ke kebun untuk
menghalau kambing dan lembu masuk semula ke kandang.
Ketika itu, langit sudah gelap. Kilat mula memancar diiringi dentuman guruh.
Menurut cerita kakak saya, Mek, Amid berada di kandang sehingga pukul 6.00
petang.

Mek nampak Amid menghalau lembu kambingnya sebab rumah Mek dekat saja dengan
kandang haiwan itu.

Kira-kira pukul 6.15 petang, hujan mula turun dengan lebat. Kakak saya, Mek,
Jah bersama adik saya, Nor dan Ana sedang berada di rumah mereka pada waktu
itu.

Apabila hujan lebat turun dan guruh serta petir sabung-menyabung, mereka
sangkakan Amid sudah pulang ke rumah emak.
Jadi mereka langsung tidak memikirkan tentang Amid kerana menyangka Amid
sudah pulang ke rumah sebelum hujan turun.

Tiba-Tiba....
prangggggg. tuuuuummmmt!!!

Dentuman serta panahan petir yang teramat kuat itu membuatkan Mek, Jah, Nor
dan Ana terperanjat.

Panahan petir itu turut membelah beberapa batang pokok pisang yang ditanam
di belakang rumah serta merobekkan dinding dan pintu bilik air rumah Mek.

Pada masa yang sama, emak yang sedang berada di halaman rumahnya kira-kira
dua kilometer dari rumah Mek, turut terperanjat mendengar bunyi dentuman
petir itu.

Darahnya berderau. Lutut emak tiba-tiba saja jadi lemah. Dirinya terasa
seperti di awang-awangan.

Tiba-tiba mulut emak terpacul kata kata,

"Ya Allah. anak aku!"

Hati emak jadi berdebar-debar. Dia teringatkan Amid yang sedang berada di
kebun.

Emak tiba-tiba bimbang terjadi sesuatu yang buruk terhadap Amid.

Kira-kira setengah jam berlalu, hujan semakin reda. Pancaran kilat dan guruh
juga sudah sayup-sayup bunyinya. Tiba-tiba Mek teringatkan Amid

Dia menghubungi emak, tetapi kata emak, Amid masih belum pulang.

Mek mula rasa tidak sedap hati. Dia mengajak abang kami, Pok Yee untuk
keluar bersama mencari Amid. Mereka berdua menuju ke kandang yang tidak jauh
dari rumah mereka itu.

Sampai di sana ...

"Ya Allah, adik akuuuuuu!!!"

jerit Mek sebaik sahaja melihat Amid terbaring mengiring di bawah pohon
sentul di depan kandang kambingnya.

Mek memangku kepala Amid. Mek Jerit nama Amid beberapa kali,
tapi Amid tidak lagi menyahut. Tubuhnya kaku.

Cerita Mek kepada saya...

ketika itu dia melihat darah mengalir laju keluar dari telinga Amid. Kesan
lukanya pula seperti terkena tembakan peluru. Dari waJahnya, sehingga ke
paras dada, menjadi hitam kesan terbakar.

Amid dibawa ke hospital dengan hantuan seorang jiran dan disahkan sudah
meninggal dunia.

Ketika menunggu hospital membenarkan kami membawa pulang jenazah Amid, Mek
pun bercerita kepada kami bagaimana dia melihat sesuatu yang agak pelik pada
mayat Amid ketika dia mula-mula menjumpainya.

Cerita Mek,

mayat Amid dijumpainya terbaring mengiring menghadap ke arah kiblat dan
kedua-dua tangannya pula dalam keadaan kiam.

Lazimnya seseorang yang dipanah petir, tercampak dan keadaan anggota
badannya tidak teratur. Tetapi ini tidak, mayat Amid seolah olah dibaringkan
dan tangannya dikiamkan ke dada.

cerita Mek kepada kami lagi.

Pagi Jumaat 8 Oktober 2004

PAGI itu, suasana pilu menyelubungi rumah kami. Mayat Amid terbujur kaku
diselimuti kain kapan di ruang tamu.

Saya termasuk beberapa orang adik-beradik dan orang kampung, sibuk
menguruskan urusan pengebumian Amid.

Di sekeliling mayat, kelihatan saudara-mara memenuhi ruang rumah, termasuk
orang-orang kampung membacakan surah Yasin.

Setelah solat jenazah, mayat Amid dibawa ke perkuburan. Sebaik selesai
urusan pengebumian, azan solat Jumaat pun berkumandang.

Sehari selepas Amid dikebumikan, saya ke kuburnya untuk membacakan surah
Yasin.

Saya tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 9.00 pagi. Ketika sedang
khusyuk membaca Yasin.

Tiba tiba saya terdengar suara burung berkicauan di atas pokok-pokok di
kuburan itu.

Pada mulanya saya tidak hiraukan kicauan burung-burung tersebut. Tetapi
lama-kelamaan, saya dengar bunyi kicauan itu semakin kuat dan rancak.

Saya pun mendongak, kelihatanlah sekumpulan burung sedang terbang berpusing
dan galak berkicau.
Mula timbul rasa pelik dalam diri saya sebab sewaktu mula-mula sampai ke
tanah perkuburan, langsung tidak nampak kelibat seekor burung pun.

Saya menyambung kembali bacaan sehingga tamat.

Anehnya, sebaik saya habis membaca surah Yasin, bunyi kicauan burung itu
hilang serta-merta.

Apabila saya mendongak, saya dapati sekawan burung yang berterbangan tadi
juga sudah ghaib entah ke mana.

Serentak itu saya terbau saw haruman yang tidak pernah saya rasai sebelum
ini. Baunya amat harum.

Saya mencari cari dari mana datangnya bau harum itu, mungkin dari orang lain
yang berkunjung ke kawasan perkuburan itu, tapi saya tidak menemuinya.

Tiada orang lain di kawasan perkuburan itu kecuali saya.

Saya kemudian meninggalkan pusara Amid, sedang di dalam kepala masih
terfikir-fikir tentang kejadian pelik sebentar tadi.
Apabila pulang ke rumah emak, tambah memeranjatkan, apabila saya terbau
haruman yang sama di dalam bilik Amid. Saya masuk ke biliknya dan mendapati
bau tersebut datangnya dari sudut bilik tempat Amid sering bersembahyang.

Subhaanallah! Itu saja yang mampu saya katakan dalam hati

Bukanlah tujuan saya untuk bercerita tentang kebaikan adik sendiri atau
bertujuan untuk berbangga, riak dan sebagainya,
Tetapi bagi keluarga kami, Amid menjadi contoh seorang anak yang begitu
taat kepada ibunya. Dan kisah ini ingin saya kongsikan bersama sebagai satu
pengajaran buat kita semua.

Setiap kali saya terbaca kisah-kisah sadis dan kejam seperti kejadian anak
membunuh ibu, atau anak sanggup menghantar ibu bapa ke rumah jagaan
orang-orang tua di akhbar atau majalah, pasti saya akan teringatkan sikap Amid.

Biarpun Amid sudah pergi meninggalkan kami hampir lebih dua tahun lamanya,
namun apabila saya terkenangkannya, saya akan menitiskan air mata. Sedih dan
terharu apabila mengenangkan pengorbanan Amid terhadap emak.

Namun, dalam sedih, ada terselit di hati saya rasa gembira. Sikap taatnya
kepada ibu, dan peristiwa pelik yang berlaku pada Amid ketika kematiannya,
membuatkan saya yakin, itu adalah petunjuk dari Tuhan, sebagai balasan buat
seorang anak yang telah mengabdikan diri terhadap ibu sehingga ke akhir
hayatnya.

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya;
Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan
(dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya
ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku
dan kepada kedua-dua ibu bapamu; dan (ingatlah),
kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)".
- Surah Luqman ayat 14.

No comments:

Daisypath Friendship tickers
Daisypath Anniversary tickers
Lilypie Kids Birthday tickers
Lilypie Kids Birthday tickers
Lilypie Kids Birthday tickers